Ta’wil Sesat Syiah Ayat-ayat Quran

Posted on January 10, 2012. Filed under: Ta'wil Sesat Syiah Ayat-ayat Quran | Tags: , , |

Ciri-Ciri Batiniah Dalam Akidah Dan Pegangan Syiah Imamiah

 

Syiah merupakan ajaran dan mazhab yang telah lama muncul dalam dunia Islam.   Kemunculan ajaran-ajaran lain yang menyeleweng dari akidah Ahli Sunnah Wa Al-jamaah adalah kesinambungan dari perkembangan dan pergerakan Syiah.  Jika dikaji dan dibandingkan antara asas-asas Syiah dengan ajaran-ajaran sesat dan menyeleweng yang lain kita akan dapati kewujudan persamaan seolah-olah ia datang dari sumber yang sama cuma menggunakan pelbagai nama dan mengalami perubahan dan pengubahsuaian bersesuaian dengan perkembangan dan peredaran masa dan zaman.

Oleh itu bagi penulis, Syiah adalah pelopor kepada gerakan dan ajaran Batiniah yang lain.  Syiah adalah guru pertama kepada ajaran Batiniah yang sesat yang tersebar di seluruh dunia Islam termasuk Malaysia.  Untuk mengetahui dengan lebih jelas, ikutilah persamaan pegangan dan akidah Syiah dengan ciri-ciri Batiniah berikut:

Pertama: Takwil ayat-ayat Quran secara batin.

Bagi Syiah Imamiah, Quran terdapat tujuh puluh tujuh rahsia batin.  Mereka mendakwa Allah ta’ala telah menjadikan zahir Quran membicarakan tentang dakwah kepada tauhid, kenabian dan kerasulan dan Dia menjadikan rahsia batin Quran dakwah kepada Imamah(kepimpinan Imam) dan Wilayah(perlantikan Imam) serta perkara yang bersangkut paut dengan keduanya.  Kemudian mereka mendakwa semua makna-makna Quran samada makna zahir atau batin dikhususkan ilmu pengetahuannya kepada Rasulullah dan imam-imam mereka selepas itu.  Merekalah yang mengetahui tentang Quran keseluruhannya kerana Quran diturunkan kepada Nabi dan ahli keluarganya.   Orang biasa tidak dapat mengetahui makna-makna zahir Quran apatah lagi untuk mengetahui makna-makna batin rahsianya.  Dakwaan sebegini menjadikan pemikiran pengikut-pengikut Syiah beku dalam menafsirkan ayat-ayat Quran kerana hanya imam-imam mereka sahaja yang mengetahui makna zahir dan batin ayat-ayat Quran([1]).  Secara logiknya, mereka juga mudah ditipu oleh imam-imam mereka dengan dakwaan-dakwaan yang sesat disebabkan sikap ta’asub yang menyelubungi akidah mereka.

Contoh tafsir ayat-ayat Quran secara batin oleh Syiah Imamiah ialah seperti berukut([2]):

Firman Allah taala dalam surah al-‘Araf ayat 159 yang bermaksud: “Dan di antara kaum Musa itu terdapat satu umat yang memberi petunjuk(kepada manusia) dengan hak kebenaran dan dengan yang hak itulah mereka menjalankan keadilan”.  Syiah mentafsirkan ayat ini dengan maksudnya yang batin dan rahsia iaitu: “Kaum Musa ialah mereka yang terdiri dari ahli atau penganut Islam”  iaitu Syiah.

Firman Allah dalam surah al-Insyiqaq ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu melalui tingkat demi tingkat (dalam kehidupan)”.  Tingkat demi tingkat dalam ayat tersebut maksudnya ialah dari setitis air mani sampai dilahirkan, kemudian melalui masa kanak-kanak remaja, dan sampai dewasa.  Dari hidup menjadi mati kemudian dibangkitkan kembali.  Ulamak-ulamak Syiah pula mentafsirkan ayat tersebut dengan tafsir batin.  Bagi mereka ayat ini mengisyaratkan kepada kita bahawa umat Islam ini akan mengikut jejak langkah umat terdahulu dengan meninggalkan dan menafikan pewaris atau penganti nabi-nabi yang dilantik secara wasiat.

Golongan Syiah berpegang bahawa lafaz-lafaz Quran yang banyak memberi pengertian umum sebenarnya Allah ta’ala menghendaki pengertiannya yang khusus mengikut tafsiran batin.  Sebagai contohnya lafaz al-kafiruun(الكافرون) yang memberi makna secara zahir dan umum ialah orang-orang kafir tetapi yang dikehendaki pengertiaannya secara batin dan rahsia ialah golongan dan sesiapa yang mengingkari perlantikan Ali sebagai Imam selepas Nabi sallallahu’alaihiwasallam.

Dalam kitab hadis Syiah yang bertajuk Usul al-Kafi karangan al-Kulainy terdapat tafsiran ayat-ayat Quran secara batin.  Contohnya seperti berikut :

Firman Allah taala dalam surah al-Ra’d ayat 7 yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan; dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk”.  Bagi ulamak Syiah pemberi peringatan dalam ayat tersebut ialah Rasulullah.  Tafsiran tersebut tidak bercanggah dengan tafsiran yang sebenar cuma mereka menafsirkan yang memberi petunjuk dalam ayat tersebut selepas kewafatan Rasulullah ialah Imam Ali dan diikuti oleh imam-imam dari kalangan keturunan Rasulullah sallahualaihiwasallam seorang demi seorang([3]).

Allah berfirman dalam Quran dalam surah al-‘Araf ayat 157 yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada disisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan ma’ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk;  dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.  Maka orang-orang yang beriman kepadanya mengikuti cahaya(Qur’an) yang terang yang diturunkan kepadanya.  Mereka itulah orang-orang yang beruntung”.  An-nur(cahaya yang terang) yang diturunkan dalam ayat tersebut bermaksud Quran tetapi ulamak Syiah Imamiah menafsirkannya dengan Imam Ali dan imam-imam mereka selepasnya([4]).

Firman Allah taala alam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud : “Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi.  Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus(misykat)([5]), yang di dalamnya ada pelita besar.  Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkatnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula disebelah barat(nya)([6]), yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.  Cahaya di atas cahaya(berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahayaNya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

Bagi Syiah misykat dalam ayat tersebut bermaksud Saiyidatina Fatimah.  Pelita besar ialah Hasan, kaca ialah Husein, bintang yang bercahaya seperti mutiara ialah Fatimah di kalangan wanita-wanita lain di dunia, pohon yang banyak berkatnya ialah Ibrahim, tidak di sebelah timur dan tidak pula disebelah barat maksudnya bukan Yahudi dan bukan Nasrani, minyaknya saja hampir-hampir menerangi maksudnya hampir-hampir ilmu memancarkan dengannya, cahaya di atas cahaya maksudnya imam daripada imam selepas imam dan Allah membimbing kepada cahayaNya siapa yang Dia kehendaki maksudnya Allah akan memberi petunjuk kepada imam-imam apa-apa sahaja yang Dia kehendaki([7]).

Firman Allah dalam surah an-Nur ayat 55 yang bermaksud: “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sunggguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagai mana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu; dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”.  Bagi Syiah maksud ‘mereka’ dalam ayat tersebut ialah imam-imam mereka bukan umat Islam yang beriman dan yang melakukan amal soleh.

Tafsir-tafsir yang tersebut di atas adalah contoh tafsir ayat-ayat Quran secara batin oleh puak Syiah yang sememangnnya bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.  Kebanyakan tafsir yang dibuat adalah untuk mengagung-agungkan dan menguatkan konsep imamah mereka dan perkara yang bersangkut paut dengannya.  Tafsir yang sebegitu rupa terdapat banyak dalam kitab-kitab mereka yang masih dibaca, dikaji, dipelajari dan boleh didapati di kebanyakan perpustakaan dalam dunia Islam.


([1]) Muhammad Husein az-Zahaby, at-Tafsir wa al-Mufassirun, op. cit., juz. 2, ms 26-27.

([2]) Sila lihat contoh berikut dalam kitab: Muhammad Husein az-Zahaby, at-Tafsir wa al-Mufassirun, op. cit., juz. 2, ms 28.

([3]) Muhammad bin Yaacob al-Kulainy(w328@329h), Usul al-Kafi, tahkik: Muhammad Jaafar Syamsuddin, t. ctk., Beirut, Darul Ta’aruf  Lil  Matbu’aat, 1411h/1990m, juz 1, ms 247.

([4]) Muhammad bin Yaacob al-Kulainy(w328@329h), Usul al-Kafi, tahkik: Muhammad Jaafar Syamsuddin, t. ctk., Beirut, Darul Ta’aruf  Lil  Matbu’aat, 1411h/1990m, juz 1, ms 250.

([5]) Misykat ialah suatu lubang di dinding rumah yang tidak tembus sampai sebelahnya, biasanya dugunakan untuk tempat lampu, atau barang-barang lain.

([6]) Maksudnya pohon zaitun itu tumbuh dipuncak bukit, ia dapat sinar cahaya matahari baik diwaktu matahari terbit mahupun di waktu matahari akan terbenam, sehingga pohonnya subur dan buahnya menghasilkan minyak yang baik.

([7]) Muhammad bin Yaacob al-Kulainy(w328@329h), Usul al-Kafi, tahkik: Muhammad Jaafar Syamsuddin, t. ctk., Beirut, Darul Ta’aruf  Lil  Matbu’aat, 1411h/1990m, juz 1, ms 251.

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • POLISI

    Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan dakwah, pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca dibenarkan menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat akidah2u.wordpress.com hendaklah disertakan dan dikekalkan. Sebarang bentuk penerbitan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya yang bertujuan dan berorientasikan komersil tidak dibenarkan sama sekali tanpa keizinan pihak akidah2u.wordpress.com

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: