CARA PENYEBARAN TASAUF FALSAFAH DI MALAYSIA

Posted on December 20, 2011. Filed under: Tasauf Falsafah Di Malaysia |

CARA PENYEBARAN TASAUF FALSAFAH DI MALAYSIA

 

TAsauf falsafah sebenarnya adalah bukan dari ajaran Islam bahkan ia menyerap masuk ke dalam ilmu tasauf melalui beberapa cara antaranya yang terkenak ialah memalui pndakwah-pendakwah golongan sesat Batiniah.  Ramai ulamak memperkatakan tentang pendakwah-pendakwah Baitiah telah berselindung dalam tarikat-tarikat tasauf untuk menyebar ajaran mereka dan meghancurkan agama Islam melaluinya.  Terdahulu kita telah mengetahu  pendapatIbni Khaldun tentang penyerapan ajaran Batiniah dalam ajaran sufi.  Selain Ibni Khaldun, antara ulamak yang berpendapat sedemikian ialah Imam Abu Zahrah.  Bagi beliau golongan Batinia Syiah Ismailiah telah mentakwil ayat-ayat Quran dengan makna batin yang jauh kebenarannya dan pelik.  Syiah Ithna ‘Asyariah (Imamiah) juga terlibat.  Ajaran-ajaran mereka seterusnya telah diambil oleh beberapa golongan ahli tasauf[1].  Menurut Hussein Az-Zahaby teori tasauf falsafah seperti wahdatul wujud  adalah teori yang telah diambil oleh setengah ahli tasauf melalui puak batiniah Ismailiah.  Golongan Batiniah Ismailaih tersebut telahbergaul dengan mereka dan mereka telah mengambil pandapat-pendapat yang mengatakan Tuhan telah masuk ke dalam tubuh-tubuh imam-imam mereka.  Puak sufi telah mengambarkannya dengan bentuk yang lain sama dengan dakwaan Baitiniah Ismailaih tetapi perbezaannya hanyalah pada lafaz dan istilah sahaja[2].  Bagi Muhammad Ahmad Al-Khatib seorang pakar ajaran Batiniah terdapat pengaruh dan kesan Batiniah yang jelas dalam ajaran sufi dan ahlu sufi sama ada ajaran-ajaran dan akidah falsafah mereka.  Jleasnya, tindakan sekatan yang telah dikenakan kepada pendakwah dan penyebar ajaran Batiniah telah membuat mereka bersembunyi disebalik gerakan-gerakan sufi yang amat berbahaya kepada ajaran-ajaran sufi.  Kita dapati ramai muncul ahli sufi yang melampau yang terpengaruh dengan teori-teori Ismailiah Batiniah dan falsafah ajarannya yan mereka mendakwa dengan konsep Wahdatul Wujud, Ittihad kesatuan hamda dengan Tuhan, tidak mengambil endah tentang agama-agama dan tidak juga agama Islam[3].

Setelah membaca buku-buku sejarah Tanah Melayu dan buku-buku tasauf,  secara ringkasnya ilmu tasauf falsafah tersebar di Malaysia melalui cara-cara berikut :

Cara Pertama: Melalui Ahli Sufi Dari Tanah Arab dan India.

Para pendakwah Islam yang datang ke Tanah Melayu terdiri dari kalangan ulamak yang menguasai pelbagai ilmu pengetahuan tetapi yang paling masyhur di kalangan mereka ialah ahli-ahli sufi.  Ini disebabkan ahli sufi pada zaman tersebut tidak menetap di satu tempat sebaliknya mereka suka merantau dan berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.  Di samping  itu, mereka juga bersifat dengan akhlak yang mulia dan berurusan dengan orang ramai dengan penuh kebenaran sehingga masyarakat Melayu tertarik kepada mereka, menghormati, menyayangi dan menganggap mereka seperti keluarga sendiri.  Ramai orang Melayu memeluk Islam di tangan mereka[4].

Tasauf Falsafah pada awalnya wujud di Pasai pada tahun 1177m selepas kedatangan Syeikh Abdullah Arif salah seorang ahli sufi dari Tanah Arab.  Beliau telah menyeru orang ramai supaya memeluk Islam di Sumatera pada tahun 1165m.  Kitabnya yang bertajuk Bahru Al-Lahut[5] dianggap kitab yang pertama sampai ke Kepulauan Tanah Melayu.  Di samping Syeikh Abdullah Arif, seorang lagi ulamak dari Tanah Arab datang ke Tanah Melayu yang bernama Abdul Khair Bin Hajar.  Beliau menulis sebuah kitab tasauf falsafah yang berjudul As-Saifu Al-Qoti’[6].   Kedua-dua ulamak tersebut telah menyebarkan ilmu tasauf falsafah melalui kitab mereka yang mengandungi teori Wahdatul Wujud dan Nur Muhammad.  Kemudian ulamak tempatan menyebarkannya pula kepada masyarakat seperti Hamzah Fansuri, dan muridnya yang bernama Syamsuddin As-Sumaterany dan selainnya..

Pengajian Tasauf Falsafah pada kurun ke 13 masehi di anggap paling rancak dan banyak tersebar di Kepulauan Melayu.  Bertitik tolak dengan kemunculan teori falsafah sufi oleh Ibni ’Araby, Hamzah Fansuri telah mengarang koleksi syairnya yang bertajuk Syarab Al-’Asyikiin, Asrar Al-’Arifiin dan Al-Muntaha mengambarkan teori-teori falsafah yang telah dibawa oleh Ibni Araby.  Hamzah Fansuri di anggap seorang yang menyeru kepada tasauf wujudiah di Jawa.  Beliau berpendapat, wujud itu hanya satu saja bukan dua.  Alam ini daripada langit hingga bumi, laut hingga daratan semuanya adalah hasil dari kemunculan dan tajalli wujud hakiki.  Wujud itu baginya ada tujuh martabat tetapi pada hakikatnya satu sahaja iaitu martabat Ahadiah: hakikat mutlak Allah, Wahdah: Hakikat Muhammad, Wahdiah: Hakikat Adam, Alam Al-Arwah: Hakikat Diri, Alam Al-Mithal: Hakikat Bentuk, Alam Al-Ajsam: Hakikat Jasad, dan Alam Al-Insan: Hakikat Insan.  Semua martabat tersebut berkumpul pada satu martabat sahaja iaitu Ahadiah: Dia Allah, Dia aku[7].

Contoh syair Hamzah Fansuri yang menunjukkn kepada Tasauf Falsafah ialah:

Katakan ana al-Haqq jangan takut !

Itulah ombak menjadi laut[8].

Hamzah Fansuri juga mengambarkan wujud Allah seperti wujud alam ini seumpama matahari dan cahayanya.  Beliau berkata: ”Dzat Allah dengan Wujud Allah esa hukumnya, Wujud Allah dengan wujud alam esa hukumnya; seperti cahayanya(matahari), namanya jua lain, pada haqiqatnya tiada lain.  Pada penglihatan mata esa, pada penglihatan hati esa.  Wujud alam pun demikian lagi dengan wujud Allah-esa, kerana alam tiada berwujud sendirinya”[9].  Beliau juga menyamakan makhluk dengan pencipta seperti laut dengan ombak dengan katanya: Maka laut ia qadim, ketika berombak dinamakan ombak tetapi pada hakikatnya laut juga kerana laut dan ombak satu bukan dua”[10].

Selain ulamak dari Tanah Arab yang membawa tasauf falsafah ke Tanah Melayu, terdapat juga ulamak dari India yang membawa teori tersebut, antaranya ialah Muhammad Fadhlullah Al-Burhafury(w1029h/1619m) yang mengarang kitabnya berjudul At-Tuhfatu Al-Mursalah yang membicarakan di dalamnya teori Martabat Tujuh.  Kitab tersebut menjadi rujukan ulamak melayu dalam mengarang kitab tasauf antaranya Abdul Samad Al-Palimbany.  Beliau banyak menyebut nama kitab tersebut di beberapa tempat di dalam kitabnya khususnya ketika membicarakan tentang kejadian alam[11].   Bertitik tolak dengan kemunculan kitab At-Tuhfatu Al-Mursalah tersebut, Syikh Syamsuddin As-Sumaterany telah mengarang beberapa kitab antaranya kitab Nurul Haqaiq.  Kemudian Syeiakh Nuruddin Ar-Raniry mengarang pula kitab ’Ain Al-’Alam, Hallu Az-Zhil, dan Marifat As-Saniyyah[12].

Di zaaman pemerintahan Kerajaan Acheh khususnya di zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam(1607-1636m), pengajian tasauf falsafah diadakan di istana baginda.  Orang yang bertanggungjawab mengajarnya ialah Syeikh Syamsuddin As-Sumaterany murid kepada Hamzah Fansuri.  Pada zaman Sultan Iskandar At-Thani(1636-1641m) telah berlaku pertembungan antara tasauf falsafah dengan tasauf sunnah di Acheh.  Syeikh Nuruddin Ar-Raniry mewakili tasauf sunnah telah mempertikai kitab yang dikarang oleh Hamzah Fansuri.  Akhirnya, satu keputusan dikeluarkan oleh Sultan Iskandar At-Thany iaitu arahan membakar kitab-kitab tasauf falsafah karangan Hamzah Fansuri di Masjid Bait Ar-Rahman pada tahun 1637m[13].

Di Melaka, pengajian tasauf falsafah telah diadakan seperti pengajian kitan Al-Insan Al-Kamil karangan Abdul Karim Al-Jily, kitab Ad-Duru Al-Manzhum karangan Abi Ishaq As-Syairazy.  Kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Al-Imam al-Ghazaly juga dipelajari di Melaka disamping hikayat-hikayat sastera Arab telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah[14].  Ini berlaku antara  tahun 1414-1511m dan tahun-ahun selepasnya kerana sultan Melaka pertama yang beragama Islam ialah Raja Megat Iskandar Shah(1414-1424m) dan berakhir pengaruh kuasa kerajaan Melaka ialah pada tahun 1511m selepas diserang oleh Portugis.

            Penyelewengan dalam memahami konsep Wahdatul Wujud, Nur Muhammad, dan Martabat Tujuh bukan sahaja berlaku pada zaman Syeikh Nurunddin Ar-Raniry dan Syeikh Syamsuddin As-Sumaterany tetapi ia terus berkembang dan tersebar sehingga zaman selepasnya.  Apatahlagi apabila konsep tersebut bercampur aduk dengan kepercayaan kuno masyarakat Melayu di Kepulauan Melayu Jawa yang dipengaruhi oleh ajaran Hindu sebelum kedatangan Islam.  Permulaan tarikat sufi yang sesat muncul di Tanah Melayu ialah Tarikat Salik Buta dalam masyarakat Acheh.  Kemudian konsep-konsep Tasauf Falsafah tersebut tersebar di kalangan ulamak-ulamak di Palembang, Banjar, Patani dan selainnya.  Mereka menulis dan mengarang kitab-kitab dengan menyebut konsep-konsep tersebut[15].

Disamping tersebar tasauf falsafah di Tanah Melayu, muncul pula tarikat-tarikat sufi seperti Tarikat Ar-Rifa’iah, Tarikat As-Samaniah dam Tarikat As-Syatariah.  Kemudian muncul pula dengan lebih banyak tarikat-tarikat dan ulamk sufi di Tanah Melayu seperti Syaikh Yusuf Tuj Al-Khalwaty di Banten, Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fatany yang masyhur di Kelantan dan Terengganu dan Syeikh Abdul As-Samad Al-Palimbany di Kedah[16].

Dari maklumat di atas dapat kita simpulkan Tasauf Falsafah tersebar di Tanah Melayu seiring dengan kemasukan dan dakwah Islamiah.  Pendakwah-pendakwah dari Tanah Arab seperti Syeikh Abdullah ’Arif dan Syeikh Abdul Khair Bin Hajar dan pendakwah dari India seperti Syeikh Muhammad Fadhlullah Al-Burhanfury memainkan perenana mereka dalam memperkenalkan tasauf falsafah dalam masyarakt Melayu pada peringkat permulaannya sebelum ia disebarkan oleh ulamak-ulamak tempatan Melayu yang mengambil ilmu dari mereka atau yang pergi menuntut ilmu di Tanah Arab seperti Mekah dan sekitarnya.  Disamping kedatangan pendakwah-pendakwah Islam yang merupakan peniaga-peniaga dari Tanah Arab, sejarah juga menyaksikan penhijrahan ramai orang Arab ke Tanah Melayu pada kurun ke 13 dan 15 masehi disebabkan keadaan politik yang tidak selamat selepas Baghdad dan negara Arab sekitarnya diserang oleh tentera Mongol pada tahun 1257m.  Keluarga Rasulullah juga ramai telah berhijtah ke India dan Tanah Melayu untuk mencari keamanan[17].  Mereka semua tidak mustahil datang ke Tanah Melayu bersama dengan budaya, adat, agama dan kepercayaan masing-masing yang dapat mempengaruhi perkembangan budaya dan sosial masyarakt Melayu.

 

Cara Kedua: Orang Melayu Yang Mengambil Ilmu Dari Tanah Arab

Antara negeri yang manjadi tumpuan orang Melayu menimpa ilmu diTanah Arab ialah Mekah Mukarramah.  Ia dianggap pusat pengajian tinggi Islam bagi orang Melayu untuk mempelajari ilmu dari ulamak-ulamak di sana.  Antara ulamak yang lahir dari kelas pengajian di Masjid Haram Mekah ialah Syeikh Nuruddin Ar-Raniry, Syeikh Abdul Rauf Singkel, Syeikh Abdul Malik Abdullah, Syeikh Abdul Samad Al-Palimbany, Syeikh Daud Al-Fatany dan selain mereka yang tersebut.  Merekalah yang menterjemah kitab-kitab dalam bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu dengan mengguna huruf jawi.

Mekah Mukarramah walaupun merupakan tanah suci umat Islam tidak terlepas daripada penyebaran tasauf falsafah.  Negeri Hijaz ternasuk Mekah dan Madinah antara negeri yang banyak berlaku khurafat sebelum kedatangan dakwah Muhammad Bin Abdul Wahab bahkan seolah-olah zaman jahiliah datang kembali sebagaimana yang digambarkan oleh ramai ahli sejarah Islam.  Antara bukti yang menunjukkan tasauf falsafah tersebar juga ke Mekah ialah satu puisi karangan Tuanku Daud salah seorang ulamak Melayu yang hidup antara akhir kurun 18 masehi dan awal kurun 19 masehi mengambarkan larangan menyebarkan tasauf falsafah di Mekah.  Puisi tersebut seperti berikut:

Martabat Tujuh sekarang,

Di Mekah telah di larang,

Beberapa buku telah dimusnah,

Pengikutnya tiada dan muftinya disekat,

Ulamak Mekah dan Madinah telah bersepakat,

Begitu juga Mesir dan Kufah,

Martanat Tujuh telah diharamkan,

Mubtadi’ akhirnya sesat[18].

Ulamak-ulamak Melayu yang menimba ilmu di Tanah Arab dan India telah pulang ke Tanah Melayu dengan membawa ilmu termasuklah teori-teori tasauf falsafah seperti martabat tujuh, Nur Muhammad, Wahdatul Wujud dan selainnya.  Mereka telah menyebarkannya melalui kelas-kelas pengajian dan buku-buku yang dikarang oleh mereka.

Jika kitab lihat kepada kitab-kitab tasauf yang dikatogerikan oleh ulamak sebagai kitab tasauf falsafah, kita dapati kitab pertama yang sampai ke Tanah Melayu yang mengandungi teori-teori tasauf falsafah ialah kitab At-Tuhfah Al-Mursalah Ila Ruh An-Nabi yang dikarang oleh Muhammad Bin Fadhlullah Al-Burhanfury(w1029h/1619m).  Kitab ini telah diterjemah ke dalam Bahasa Jawa pada tahun 1680m yang mengandungi teori Martabat Tujuh.  Kitab ini kemungkinan sampai ke Acheh pada akhir tahun 1601m[19].  Kemudian muncul kitab Asrar Al-‘Arifin, Syarab Al-‘Asyiqin dan Al-Muntaha yang dikarang oleh Syeikh Hamzah Fansuri.  Beliau merupakan seorang ulamak berasal dari Baros, Sumatera.  Beliau hidup dikurun ke 16 masehi di zaman Sultan Alauddin Riayat Syah(997-1011h/1589-1604m) sehingga awal pemerintahan zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam(1016-1045h/1607-1639m)[20].  Muhammad Fadhlullah Al-Burhanfuryu dan Hamzah Fansuri dianggap tokoh awal Tasauf Falsafah di Kepualauan Melayu.

Kitab keseterusnya muncul ialah kitab Daqaiq al-Huruf karangan Abdul Rauf Sengkil pada tahun 1661m.  Beliau berasal dari Sengkel, Sumatera dan kitab beliau masih ada terdapat di Leiden, Belanda[21].  Seterusnya muncul kitab Jauhar Al-Haqaiq karangan Syeikh Syamsuddin As-Sumaterany(w1630m/1039h).  Beliau adalah murid kepada Hamzah Fansuri dan pernah dilantik sebagai Perdana Menteri di Acheh[22].  Seterusnya muncul kitab Ad-Duru An-Nafis karangan Syeikh Muhammad Nafis Al-Banjary(w1778m).  Beliau mengarang kitab tersebut pada tahun 1200h/1785m[23].

Seterusnya muncul kitab Al-Manhal As-Sofi Fi Bayan Ramzi Ahli As-Sufi karangan Syeikh Wan Daud Bin Wan Abdullah Bin Wan Idris Al-Fatany(w.w.1740-1846).  Kitab ini di karang pada tahun 1383h iaitu antara tahun 1830m dan 1840m dalam Bahasa Melayu Jawi[24].  Kitab yang muncul selepasnya ialah kitab Kashfu Al-Asrar karangan Syeikh Soleh Bin Abdullah Al-Minangkabawy pada tahun 1922m.   Kemudian muncul pula kitab Hidayah Al-Anwar yang dikarang oleh Syeik Ghazali Jamalullail dari Pulau Pinang pada tahun 1355h/1933m.  Beliaulah yang menyebarkan ajaran sesat yang dikenali dengan nama Ajarab  Taslim yang diasaskan oleh ayah beliau Haji Muhammad Bin Syafie berasal dari Sumatera yang terkenal dengan gelaran Muhammad Matahari.  Ajaran ini dianggap ajaran sesat paling lama muncul di Malaysia dan Muhammad Matahari telah berguru dengan seorang guru yang berasal dari India[25].

Seterusnya muncul kitab Bentuk Alam Mengkagumkan karangan Abdullah Bin Muhammad(Nakula) yang menyebarkan kitabnya pada tahun 1975m/1395h[26].   Kemudian muncul kitab yang menjadi kontroversi sampai sekarang iaitu kitab Hakikat Insan yang dikarang oleh Ahmad Laksamana pada tahun 1975m..  Beliau menyebarkan ajaran sesatnya keseluruh Malaysia.  Kitab beliau merupakan kitab terkini yang mudah difahami dan lengkap dengan gambar dan lakaran yang menarik jika dibandingkan dengan kitab-kitab sebelumnya.

Selain konsep-konsep tasauf falsafah yang terdapat dalam kitab-kitab tersebut, ia juga meresap masuk kedalam kitab-kitab lain, antaranya kitab yang masyhur di kalangan masyarakat Melayu iaitu kitab Siyaru As-Salikiin karangan Syeikh Abdul Samad Al-Palimbany.  Beliau berasal dari Palembang dan menetap di Hijaz[27].  Kitab Daqaiq Al-Akbar yang diterjemahkan oleh Syeikh Ahmad Bin Muhammad Yunus Langga.   Beliau tidak menyebut kitab asal yang diterjamahkannya tetapi diakhir kitab beliau menyebut tarikh terjemahan pada 20 Muharram 1312h hari selasa di Mekah Mukarramah[28].  Selain terdapat konsep-konsep Tasauf Falsafah dalam kitab tersebut di atas, ia juga penuh dengan hadis-hadis palsu yang disandarkan kepada Rasulullah.


[1] Muhammad Abu Zahrah, Tarikh Al-Mazahib Al-Islamiah, op. cit., juzuk 2, ms 333.

[2] Muhammad Husain Az-Zahaby, At-Tafsir Wa Al-Mufassirun, op. cit., juzuk 2, ms 333.

[3] Muhammad Ahmad Al-Khatib, Al-Harakat Al-Batiniah Fi Al-‘Alam Al-Islamy, op .cit., ms 439.

[4] Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohammad dan (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman, Ahlul Bait(Keluarga) Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam Dan Raja-Raja Melayu, op. cit., ms 378. Dan lihat juga: Abd Jalil Bin Borham, “Sumbangan Ulama Dalam Perkembangan Islam Di Alam Melayu”, Jurnal Shariah, op. cit., ms 275.

[5] Kitab Bahru Al-Lahut karangan Abdullah Arif berasal dari Mekah merupakan kitab tasauf  falsafah yang ditulis dalam Bahasa Arab.  Beliau telah membawanya ke Pasai dan telah diterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu dengan judul Bahru Ad-Dahut.  Kandungan kitab terpengaruh dengan Syiah dan dianggap kitab pertama sampai ke Kepulauan Melayu dan belum ada orang yang mengkaji dan mentahkiknya sehingga sekarang.  Sila lihat: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, op. cit., juzuk 3, ms 1748.

[6]

[7] HAMKA, Perkembangan Kebatinan Di Indonesia, op. cit., ms 54-55.

[8] Hamzah Fansuri, “Syair”, in: Hadiwijono, Man In The Present Javanese Myticism, Bosch & Keuning Baam, 1967, ms 90.

[9] Hamzah Fansuri, “Asrar Al-‘Arifiin”, dalam: Syed Muhammad Naguib Al-Attas, The Myticism Of Hamzah Fansuri, Kuala Lumpur, Universiy Of Malaya Press, 1970. p 242.

[10] Hamzah Fansuri, “Syarab Al-‘Ashiqin”, dalam: Syed Muhammad Naguib Al-Attas, The Myticism Of Hamzah Fansuri, op. cit.,  p 330-331.

[11] Sila lihat: Abdul Samad Al-Palimbany, Siyaru As-Salikin Fi Toriq As-Sadaat As-Sufiah, Singapura, Pustaka Nasional, tanpa cetakan, tanpa tarikh, juzuk 3, ms 105-107.

[12] Abdul Rahman Haji Abdullah, Asia Tenggara Tradisional: Politik Dan Kebudayaan, op. cit., ms 100.

[13] Ismail Hamid, Masyarakat Dan Budaya Melayu, op. cit., ms 146.

[14] Abdul Rahman Haji Abdullah, Asia Tenggara Tradisional: Politik Dan Kebudayaan, op. cit., ms 84.

[15] Abdul Rahman Hj Abdullah, Falsafah Alam Semesta Dalam Sejarah Tauhid Melayu, tanpa cetakan, tanpa tarikh, tanpa penerbit, ms 53.

[16] Abdul Rahman Haji Abdullah, Asia Tenggara Tradisional: Politik Dan Kebudayaan, op. cit., ms 100-101.

[17] Abdul Rahman Haji Abdullah, Asia Tenggara Tradisional: Politik Dan Kebudayaan, op. cit., ms 104-107.

[18] Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, Brunei, Jabatan Kesusateraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam, tanpa cetakan, 1995, ms 54.  Sila lihat juga: Faudzinaim Hj Badaruddin, Syaikh Daud Fatani: Sebuah Kajian Khusus Terhadap Kitab Manhal As-Safi, Kertas Kerja Seminar Penyelidikan Dalam Pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada 20.12.1997, ms 10.

[19] Faudzinaim Hj Badaruddin, Syaikh Daud Fatani: Sebuah Kajian Khusus Terhadap Kitab Manhal As-Safi, op. cit., ms 16.

[20] A. Hasymy, Syiah Dan Ahlussunnah, Surabaya, Bina Ilmu, 1983, ms 71.

[21] Dasuki Ahmad, Ikhtisar Perkembangan Islam, op. cit., ms 539.

[22] A. Hasymy, Syiah Dan Ahlussunnah, Surabaya, Bina Ilmu, 1983, ms 86.   Lihat juga: Dasuki Ahmad, Ikhtisar Perkembangan Islam, op. cit., ms 539.

[23] Muhammad Nafis Al-Banjary, Ad-Duru An-Nafis, Pulau Pinang, Darul Ma’arif, tampa tarikh.  Kitab ini dikarang dalam tulisan jawipada tahun 1200h/1785m.

[24] Faudzinaim Hj Badaruddin, Syaikh Daud Fatani: Sebuah Kajian Khusus Terhadap Kitab Manhal As-Safi, op. cit., ms 11.

[25] Siti Norbaya Bt Abdul Kadir, Ajaran Sesat: Sejarah Kemunculan Dan Ciri-Cirinya, op. cit., ms 7.  Lihat juga : Abdul Fattah Harun, Ajaran Sesat, op. cit., ms 94.

[26] عبد الله بن محمد(ناكولا)، بنتوق عالم منكاكومكن، كلانتان، فستاكا أمان فريس، تنفا فنجيتق،1395هـ/1975م

[27] Dalam kitab ini, juzuk 1 muka surat 52 ada menyebut tentang hukum menghadiri solat Jumaat bagi salik iaitu orang yang sedang uzlah menjauhi manusia lain semata-mata untuk beribadat kepada Allah ta’ala.  Orang tersebut ditegah menghadiri solat Jumaat kerana ia membawa kepada percampuran dengan manusia lain yang hatinya bermacam-macam jenis penyakit.  Mereka akan menjauhkan hati salik tersebut daripada Allah ta’ala.  Hukum ini telah disalahertikan oleh kebanyakan tarikatsesat sehingga ada yang tidak menghadiri solat jumaat seperti Ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin yang tidak menghadiri solat Jumaat.  Solat Jumaat bagi mereka digantikan dengan membaca zikir-zikir dan wirid-wirid dan orang yang mendirikan solat jumaat bagi mereka adalah golongan munafik.

Kitab juga mengandungi konsep Martabat Tujuh dan Nur Muhammad.  Dalam juzuk 4 muka surat 105-107, penulis menyebut tentang kejadian alam yang baru ini melalui tiga martabat iaitu pertama: Martabat Ta’ayyun Al-Awwal(Martabat Al-Wahdah). Kedua: Martabat At-Ta’ayyun At-Thany(Martabat Al-Wahidiyyah).  Ketiga: Martabat Wujud Alam Di Luar iaitu zahir(Al-‘A’yan Al-Kharijah).  Martabah ketiga ini pula mempunyai tiga bentuk, pertama dinamakan Alam Al-Arwah iaitu Nur Muhammad.  Asal seluruh ruh-ruh dari Nur Muhammad.  Kedua Alam Al-Mithal iaitu ruh tersebut tersebar dan berpecah-pecah setelah awalnya hanyalah satu.  Ketiga Alam Al-Ajsam iaitu alam syahadah yang boleh dirasai oleh pencaindera manusia.  Keempat: Alam Al-Insan iaitu sebaik-baik kejadian Allah ta’ala.  Untuk pendetilan, sila rujuk: Abdul Samad Al-Palimbany, Siyaru As-Salikin, op. Cit., juzuk 1, ms 52.

[28] Kitab ini ada menyebut dalam Bab Awal tentang kejadian ruh al-‘a’zom iaitu Nor Muhammad.  Kitab tersebut menyebut Nur Muhammad malu kepada Allah ta’ala lalu keluar darinya enam titik peluh.  Allah ta’ala menjadikan dari titik peluh pertama Abu Bakar, dari titik peluh kedua Umar, dari titik peluh ketiga Uthman, dari titik peluh keempat Ali, dari titik peluh yang kelima air bunga, dan dari ttik keenamdijadikan beras.  Kemudian Allah melihat kepada Nur Muhammad  sekali lagi, keluar peluh kerana malu kepada Allah. Dari pelih hidungnya dijadikan malaikat, dari titik peluh mukanya dijadikan Arasy, Kursy, Lauh Mahfuz, Qalam, Matahari, Bulan, Hijab, bintang-bintang, dan seluruh makhluk dilangit.  Dari peluh di dadanya dijadikan para nabi, rasul, para ulamak, syuhada’, dan orang-orang yang soleh.  Dari peluh belakangnya dijadikan Bait Ma’mur, Ka’bah, Bait Maqdis, dan tempat masjid-masjid di seluruh dunia.  Dari peluh keningnya dijadikan umat Muhammad mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat….  Apa yang disebut oleh pengarang kitab tersebut sebenarnya tidak bersandarkan kepada Quran dan Sunnah dan merupakan konsep Wahdatul Wujud, Martabah Sab’ah dan Nur Muhammad yang masyhur di kalangan ajaran Tasauf Falsafah yang sesat.  Sila lihat: Syeikh Ahmad Bin Muhammad Yunus Langga, Daqaiq Al-Akhbar, Pulau Pinang, Malaysia, Percetakan Dar Al-Ma’arif SDN BHD, tanpa cetakan, tanpa tarikh, ms 3.

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • POLISI

    Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan dakwah, pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca dibenarkan menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat akidah2u.wordpress.com hendaklah disertakan dan dikekalkan. Sebarang bentuk penerbitan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya yang bertujuan dan berorientasikan komersil tidak dibenarkan sama sekali tanpa keizinan pihak akidah2u.wordpress.com

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: