BERIMAN DENGAN KONSEP ILMU BATIN

Posted on December 15, 2011. Filed under: Ciri-ciri Utama Batiniah Sesat, Pertama: Konsep Ilmu Batin |

CIRI-CIRI UTAMA

Gerakan Batiniyyah & Ajaran Sesat

Ciri-ciri ajaran sesat dan gerakan batiniah amat penting dikaji dan diketahui kerana ia akan memberi gambaran kasar tentang golongan tersebut dan sebagai neraca untuk mengenalinya serta dapat menyelamatkan diri muslim dari terjebak dengan mana-mana golongan atau gerakan yang mahu menyeleweng dan merosakkan akidah Islamiah.  Ciri-ciri yang akan disebut nanti adalah hasil pembacaan dan kajian tentang gerakan-gerakan dan golongan-golangan sesat dalam dunia Islam keseluruhannya.  Terdapat sepuluh ciri-ciri utama, secara ringkasnya ia seperti berikut :-

Pertama: Beriman dengan konsep Ilmu Batin

Ilmu Batin ialah ilmu rahsia yang tersembunyi dari pengetahuan orang biasa.  Beriman dengannya merupakan rukun utama bagi golongan Batiniah sesat.  Bagi mereka Zahir dan batin tidak dapat dipisahkan sebagaimana ruh dan jasad tidak dapat dipisahkan.  Dalam erti kata lain agama ini terbahagi kepada dua pengertian iaitu pengertian zahir yang dapat diketahui oleh orang biasa dari kalangan alim ulamak dan pengertian batin yang dalam yang tidak dapat diketahui oleh orang kebanyakan bahkan ia diwarisi secara turun temurun daripada keluarga Rasulullah atau para sahabat-sahabatNya.  yang kan rukun utama golongan batiniah.  Ulamak-ulamak pula pada pandangan mereka tidak dapat mengetahui ilmu batin kerana ilmu ini adalah rahsia hanya orang tertentu sahaja dapat mengetahuinya. Pegangan sebegini akan membuka ruang kepada kemunculan dakwaan-dakwaan ilmu baru yang pelik yang bercanggah dengan ajaran Islam dan dengan apa yang diajar oleh kebanyakan ulamak.

Di dunia Islam antara gerakan pelopor kepada pegangan ini ialah puak-puak Syiah Isma’iliyyah.  Mereka mendakwa ilmu zahir bersangkut paut dengan perkara-perkara yang wajib dalam agama dan rukun-rukunnya.  Ilmu batin pula adalah ilmu yang berkaitan dengan  peraturan kemasyarakatan dan strategi politik.  Ilmu batin lebih penting daripada ilmu zahir.  Oleh itu mereka mengkafirkan sesiapa yang beriman dengan ilmu zahir sahaja tanpa ilmu batin bahkan anjing lebih baik daripada mereka([1]).  Ayat-ayat Quran pula wajib ditakwil dan diberi erti secara batin bersesuaian dengan dakwaan mereka.  Mereka memberi makna batin bagi huruf-huruf di awal permulaan beberapa surah di dalam Quran kerana mereka mendakwa terdapat makna rahsia, tersembunyi dan batin bagi ayat-ayat tersebut.  Jika tidak, kewujudannya dalam Quran adalah sia-sia([2]).  Selain Syiah Ismailiah, Jamaah Ikhwan al-Sofa juga berpegang dengan konsep ilmu batin.  Golongan tersebut mendakwa terdapat ilmu-ilmu rahsia yang tersembunyi diwarisi oleh Rasulullah kepada ahli keluarganya.  Ia dianggap sebagai khazanah Allah yang tersimpan([3]).

Di Malaysia, kebanyakan ajaran sesat mengajar pengikut-pengikutnya ilmu batin yang dinamakan juga ilmu hakikat atau ilmu isi atau ilmu rahsia.  Bagi mereka ilmu batin dan seumpamanya merupakan intipati ajaran Islam yang zahir yang tidak dketahui oleh orang kebanyakan.  Untuk mengetahuinya, seseorang itu mesti berguru dengan guru khas yang telah mewarisi ilmu tersebut dari gurunya atau memperolehinya melalui mimpi atau mendakwa Allah ta’ala menurunkan wahyu ke atasnya.  Sebagai contohnya Tarikat Maratib al-Sab’ah atau ajaran Hamzah bin Embi([4]) mendakwa ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu batin dan ilmu zahir.  Syariat-syariat yang zahir seperti solat, puasa dan selainnya mempunyai rahsia dan maknanya yang batin.  Dia mengajar orang ramai ilmu batin iaitu ilmu hak yang bermaksud ilmu yang benar baginya yang tidak dapat tidak mesti dipelajari.  Sesiapa yang mendakwa dia dan pengikut-pengikutnya sesat  dialah sebenarnya sesat  lagi menyesatkan.

Pengikut Ajaran Hasan Junit pula mendakwa pengasas ajaran tersebut iaitu Hasan Junit menguasai ilmu hakikat.  Ilmu itu diperolehi melalui campakan dari Allah ta’ala dan melalui perjumpaannya sebanyak beberapa kali dengan nabi secara ruh melalui ilmu hakikat ruh.  Kata-kata nabi yang diambil melalui perjumpaan tersebut dikumpulkan dalam sebuah kitab yang dinamakannya kitab ‘Tauhid’.

Sementara itu, ketua ajaran sesat Ibrahim bin Abdullah menamakan ajarannya dengan ajaran ilmu Sir(rahsia) dan menjadikan ilmu tersebut sebagai asas ajarannya.  Bagi ajaran sesat ilmu hakikat Jahar Bin Dumin, ilmu batin atau hakikat itu hanya diketahui oleh orang-orang yang khusus sahaja.  Baginya ilmu tersebut diajar dan disampaikan oleh Rasulullah hanya kepada orang-orang tertentu yang khusus sahaja daripada keluarga baginda(ali Bait) Rasulullah, kemudian ilmu tersebut diajar dan diturunkan kepada orang-orang tertentu juga sehinggalah sampai kepada zaman kita sekarang yang tidak dapat diketahui melainkan orang-orang tertentu sahaja yang mereka pelajari secara rahsia dan senyap-senyap.

Ahmad Laksamana juga membahagikan ilmu kepada dua iaitu ilmu awam yang hanya dikhususkan untuk orang-orang awam dan ilmu khawas yang dikhaskan untuk orang-orang tertentu yang mengambil ilmu ini daripada para wali, nabi dan rasul.  Baginya, bila seseorang sampai kepada martabat yang tinggi iaitu martabat wali-wali, dia akan menerima ilmu secara terus daripada Allah taala.

Jika diperhatikan kepada ajaran-ajaran sesat di Malaysia, kita dapati konsep ilmu batin merupakan asas ajaran mereka.  Ini menunjukkan bahawa ajaran-ajaran tersebut sebenarnya telah dipengaruhi oleh ajaran-ajaran sesat batiniah yang tersebar dalam masyarakat Islam termasuklah di Malaysia.  Pembahagian ilmu kepada zahir dan batin adalah salah dan sesat.  Syariat Islam semuanya isi dan tidak ada istilah isi dan kulit. Semua syariat Islam dapat mendekatkan diri kepada Allah ta’ala bagi sesiapa yang mengamalkannya dengan penuh keikhlasan kepada Allah ta’ala([5]).

Dakwaan bahawa ilmu batin adalah ilmu khas yang diwarisikan oleh Rasulullah kepada ahli keluarganya dan orang-orang tertentu adalah sesat dan salah.  Ia menafikan sifat-sifat yang ada pada Rasullullah yang menjadi asas kerasulan baginda seperti amanah, penyampai, dan benar.  Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abi Juhaifah berkata: (Aku bertanya Ali, adakah kamu ada kitab selain Quran?  Jawab Ali: Tidak, malinkan kitab Allah atau kefahaman yang diberikan kepada pemuda muslim, atau apa yang ada dalam sohifah([6]) ini.  Aku bertanya: Apa yang ada dalam sohifah  itu?  Jawab Ali: hukum hakam mengenai diat, membebaskan tahanan dan tidak dibunuh muslim dengan sebab membunuh orang kafir)([7]).  Sebuah lagi hadis yang riwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanadnya yang baik dari Toriq bin Syihab, dia berkata: (Aku melihat Ali sedang berucap di atas mimbar: Demi Allah tidak ada disisi kami kitab yang kami baca kepada kamu melainkan kitab Allah ta’ala, dan sohifah ini -yang tergantung dipedangnya- yang aku ambil dari Rasulullah, terkandung di dalamnya tentang kewajipan-kewajipan bersedekah)([8]).

Dua hadis tersebut di atas menolak dakwaan mereka bahawa ilmu batin itu diwariskan oleh Rasulullah kepada ahli bait(keluarga)nya selain kitab suci Quran dan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya.


([1]) Mustafa Ghalib, Al-Harakaat Al-Batiniah Fi Al-Islam, Beirut, Darul al-Andalus, ctk 2, 1402h/1982m, ms 97-98, dan Mustafa Ghalib, Tarikh Ad-Da’wah Al-Isma’iliyyah, op.cit., ms 39.

([2]) Abdul Aziz Saifu al-Nasr, At-Ta’wil Al-Isma’ily Al-Batiny, t. tmpt., t. penerbit, ctk 1, 1404h/1983m, ms 35.

([3]) Muhammad Ahmad al-Khatib, Al-Harakaat Al-Batiniyyah, op. cit., ms 173.

([4]) Tarikat Martabat Tujuh yang diasaskan oleh Hamzah bin Embi yang berasal dari Banting, Kuala Langat.  Dia tinggal di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh, Perak.  Dia bekerja sebagai bomoh disamping kerjanya sebagai kontraktor.  Pada peringkat permulaan menyebar ajarannya dirumah sendiri tetapi akhirnya tersebar hingga ke wilayah Selangor.  Hamzah embi mendakwa dia memiliki karamat dapat melihat iblis dan jin dan seumpamanya semasa dia menziarahi rumah simati.

([5]) ‘Uthaimin, Fatawa Al-‘Akidah, op. cit., ms 155.

([6]) Sohifah yang dimaksudkan ialah kertas yang ditulis sesuatu.

([7]) Diriwayatkan oleh Bukhari dalam kitab al-Ilmu, bab: Kitabah al-Ilmi no.(111), dan dalam kitab al-Jihad wa as-Siar, Bab: Fukak al-Asiir daripada Abi Musa dari Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam no.(2882), dan dalam Kitab ad-Diaat, Bab: al-‘Aaqilah no.(6507), dan Bab: La Yuqtal al-Muslim bi al-Kafir no.(6517).  Sila lihat al-Bukhary(194-256h), Sohih al-Bukhary, op. cit., juz 1, ms 52, juz 2, ms 1024, juz 4, ms 2373 dan 2376.

([8]) Diriwayatkan  oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnadnya dari Toriq Bin Syihab no.(782), Berkata muhakkik kitab tersebut: “Hadis sohih lighairihi, dan isnad/sanadnya lemah kerana terdapat Syarik bin Abdullah yang lemah hafalannya.  Perawi-perawi yang lain adalah dipercayai(rijal ath-thiqah) dan merupakan perawi-perawi yang sohih(rijal as-sohih…).  Sila lihat, Ahmad bin Hanbal Abu Abadullah asy-Syaibany(164-241h), Musnad Al-Imam Ahmad Bin Hanbal, tahkik: Syu’aib al-Arnauut, dan ‘Adil Mursyid, Beirut, Muassasah ar-Risalah, ctk 2, 1420h/1999m, juz 2, ms 170-171.

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

3 Responses to “BERIMAN DENGAN KONSEP ILMU BATIN”

RSS Feed for akidah2u Comments RSS Feed

Assalamualaikum….maaf ustaz, ana mahu bertanya beberapa soalan pada ustaz berkenaan dgn ajaran tarikat2..yg mashur di malaysia ni sedia kita maklum adalah tarikat naqshanbandiah….sy melihat dan perhatikan golongan tarikat ini memakai tangkal dalam amalan mereka..persoalannya adakah ajaran memakai tangkal ini dibenarkan dlm islam?

1)Tangkai yang berbentuk tulisan yang ayat-ayatnya tidak difahami maknanya atau kandungan maknanya membawa syirik kepada Allah taala haram memakainya.
2)Tangkai yang berbentuk benda seperti kain, tali, kertas, besi dan seumpamanya juga syirik dan haram diguna jika percaya dan berpegang ia memberi manfaat dan mudarat seperti dapat menyembuhkan penyakit dll selain Allah ta’ala.
3)Tangkai yang berbentuk benda yang terbukti dan diakui oleh tabib atau doktor Islam yang boleh dipercayai bahawa ia adalah ubat atau dapat menyembuhkan penyakit harus digunakan dengan berpegang bahawa Allah yang berkuasa,menyembuhkan dan kita hanya mengambil sebab atau usaha.
wallahu a’lam.

terimah kasih diatas penjelasan ustaz.


Where's The Comment Form?

  • POLISI

    Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan dakwah, pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca dibenarkan menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat akidah2u.wordpress.com hendaklah disertakan dan dikekalkan. Sebarang bentuk penerbitan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya yang bertujuan dan berorientasikan komersil tidak dibenarkan sama sekali tanpa keizinan pihak akidah2u.wordpress.com

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: