ASAS UTAMA PENCEMARAN AKIDAH ISLAM

Posted on December 15, 2011. Filed under: Akidah Islam, Asas Kesesatan |

ASAS UTAMA PENCEMARAN AKIDAH ISLAM

Musuh Islam telah menggunakan beberapa cara dan ia dianggap asas utama bagi mereka menghancurkan akidah umat Islam.  Asas-asas tersebut boleh disimpulkan seperti berikut([1]):

1-  Tashbih(التشبيه): Penyamaan.  Ia bermaksud menyamakan zat atau sifat Allah ta’ala dengan zat atau sifat makhluk selainNya seperti menyamakan imam, syeikh atau ketua pergerakan seperti Allah, menganggap mereka adalah Allah atau jelmaan Allah atau bersatu dengan Allah ta’ala.   Selain Allah ta’ala,  mereka juga dianggap sama martabatnya dengan para nabi dan rasul.

Menyamakan zat dan sifat Allah dengan manusia sebenarnya mahu mengembalikan manusia kepada agama menyembah patung, berhala dan menyembah manusia itu sendiri.  Sementara itu menyamakan ketua atau imam dengan nabi atau rasul pula mahu membatalkan akidah dan pegangan umat Islam bahawa nabi itu adalah pilihan Allah ta’ala bukan kuasa manusia untuk memilihnya.  Ia juga mahu membatalkan akidah bahawa Nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam itu adalah nabi akhir zaman, tidak ada nabi selepas baginda dan tidak ada syariat baru selepas syariat yang diwahyukan kepada baginda.

Dengan tersebarnya asas di atas, akan muncul banyak nabi-nabi baru yang mendakwa mereka itu wakil Allah, mereka menerima wahyu dari Allah ta’ala dan mereka  penyelamat dunia ini sebagaimana ada yang mendakwa Allah bersatu dengannya, menjelma ke dalam tubuhnya dan keluarlah kata-kata seperti “Aku Allah, Allah Aku” seterusnya membawa kepada kemunculan ajaran-ajaran baru yang sesat lagi menyesatkan.

2-  Hulul(الحلول): Megambil tempat/menempati.  Ia bermaksud zat atau sifat Allah masuk ke dalam tubuh manusia.  Ini bermula dengan seseorang atau satu kumpulan tertentu yang sesat mengambil individu-individu tertentu sebagai ketua atau syeikh kemudian menganggap mereka memiliki kekuasaan yang luar biasa.  Akhirnya mereka menganggap ketua atau syeikh mereka bukan dari kalangan menusia biasa bahkan Tuhan telah menjelma masuk ke dalam tubuh mereka.  Segala yang keluar dari syeikh atau ketua mereka sama ada perbuatan, perkataan dan diamnya adalah syariat, ajaran dan agama baru bagi mereka.  Asas ini bersamaan dengan akidah Kristian bahawa Isa itu adalah anak Allah taala.  Ia mahu membatalkan akidah tauhid dalam Islam iaitu Allah Esa dan Satu serta menafikan imam kepada Nabi Muhammad sebagai nabi akhir zaman sebagaimana yang telah dibicarakan dalam asas pertama terdahulu.

3-  Tanasukh(التناسخ):  Kelahiran semula.  Ia bermaksud perpindahan ruh daripada jasad pertama ke dalam jasad yang lain samada jasad manusia, haiwan, atau pokok mengikut tahap amalan masing-masing.  Dalam erti kata lain  hidup hari ini adalah ulangan bagi kehidupan yang lepas walaupun watak-watak kehidupan berbeza.  Ruh-ruh yang telah bercerai dari jasad akan berpindah kepada jasad-jasad baru dengan kelahiran yang baru mengikut amalan-amalan yang dilakukan

Asas ini berpendapat kehidupan tidak akan berakhir. Ia akan berulang-ulang mengikut peranan masing-masing tanpa ada sempadan.   Setiap zaman akan berlaku sebagaimana berlaku pada zaman sebelumnya.   Ganjaran dan hukuman dilaksanakan di dunia ini, bukan di alam akhirat.  Ketenangan, dan kebahagiaan yang kita alami dan dapati hari ini adalah natijah daripada amalan-amalan kebaikan yang telah dilakukan oleh generasi-generasi dahulu kala.  Begitu juga kerosakkan dan keburukan yang kita kecapi sekarang adalah hasil amalan-amalan yang dilakukan oleh generasi-generasi terdahulu.

Asas ini sebenarnya satu percubaan untuk membawa manusia hidup tidak bertuhan.  Ia juga mahu membatalkan imam dan kepercayaan kepada hari akhirat bagi umat Islam.

4-  Bada’(البداء): Muncul keputusan atau ilmu atau kehendak atau suruhan Allah yang baru selepas yang pertama.  Ia terbahagi kepada beberapa bentuk :-

a)  Bada’ pada ilmu Allah ta’ala bermaksud muncul atau lahir ilmu maklumat baru bagi Allah subhanahuwataala yang bersalahan dengan ilmuNya yang awal.  Pada masa dahulu Allah ta’ala tidak tahu tapi sekarang barulah terbuka ilmuNya yang baru yang bercanggah dengan ilmuNya dahulu. Dalam erti kata lain, Allah tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

b)   Bada’ pada kehendak Allah ta’ala  bermaksud lahir atau muncul kehendak Allah yang baru yang betul bercanggah dengan kehendakNya dan hukumanNya yang lalu.  KehendakNya yang baru membetulkan kehendakNya yang lalu.

c)   Bada’ pada suruhan Allah taala bermaksud Allah menyuruh melakukan sesuatu, kemudian menyuruh melakukan sesuatu yang lain selepas itu bersalahan dengan suruhanNya yang pertama.

Asas ini mahu menafikan kesempurnaan sifat ilmu bagi Allah ta’ala dan menyifatkan Allah ta’ala dengan sifat jahil terhadap sesuatu yang berlaku di alam ini.  Ia juga membuka peluang kepada golongan yang sesat untuk mencipta dan mereka ajaran atau syariat yang baru yang bercanggah dengan ajaran Islam.  Mereka mendakwa Allah ta’ala memerintahkan manusia dengan suruhan-suruhan yang baru samada melalui nabi baru atau wakilNya yang baru yang membatalkan suruhan-suruhan yang terdahulu.  Mereka juga mendakwa setiap perbuatan dan kelakuan guru, syeikh atau ketua mereka yang bercanggah dengan ajaran Islam adalah benar dan betul kerana Allah ta’ala baru memberi arahan atau suruhan berdasarkan ilmuNya yang baru tentang perkara tersebut.

5-  Ta’wil(التأويل): Takwil.  Ia bermaksud memberi makna baru bagi perkataan atau lafaz atau ayat yang susah difahami dengan merujuk kepada asal-usul perkataan atau lafaz tersebut.   Makna-makna baru tersebut hendaklah berdekatan dengan ertinya yang asal di samping berlandaskan hujah-hujah yang kukuh.  Syarat utama untuk menakwil ayat-ayat al-Quran dan hadis ialah hendaklah ia betul dan hampir kepada kebenaran, tidak bercanggah dengan kebenaran dan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah.

Asas yang terakhir ini banyak digunakan oleh golongan musuh Islam untuk memutar-belitkan makna dan pengertian ayat-ayat al-Quran dan sunnah dengan manakwilkannya bertepatan dan bersesuaian dengan dakwaan dan kesesatan mereka. Takwilan tersebut pula  bercanggah dengan kebenaran dan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah itu sendiri.

Lima asas yang disebut di atas adalah cara yang digunakan untuk menyelewengkan akidah Islamiah.  Mereka yang tidak kuat akidahnya dan tidak memahami asas-asas ilmu tauhid dengan sebenar-benarnya akan mudah terjerumus ke lembah penyelewengan tersebut.


([1]) Sila lihat asas-asas pencemaran akidah ini dalam kitab “al-Milal wa al-Nihal“, Abi al-Fatah Muhammad Abdul Karim bin Abi Bakar Ahmad as-Shaukany(479-548h), tahkik: Sidqi Jamil al-‘Attar, Beirut, Darul al-Fikr, ctk 2, 1422h/2002m, ms. 149.  Lihat juga: Qahton Abdul Rahman ad-Daury, al-Harakaat al-Haddamah Fi al-Islam, Iraq, Darul as-Syu’un ath-Thaqafah al-‘Ammah, ctk 1, 1989m, ms 13-17.

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • POLISI

    Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan dakwah, pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca dibenarkan menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat akidah2u.wordpress.com hendaklah disertakan dan dikekalkan. Sebarang bentuk penerbitan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya yang bertujuan dan berorientasikan komersil tidak dibenarkan sama sekali tanpa keizinan pihak akidah2u.wordpress.com

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: