TASAUF & PENGERTIANNYA

Posted on December 10, 2011. Filed under: Pengertian Tasauf |

Tasauf ialah ilmu untuk mengetahui keadaan diri sama ada ia baik atau jahat, mengetahui cara-cara membersihkan diri yang jahat dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang baik serta bagaimana cara suluk kepada Allah ta’ala[1].  Setengah ulamak memberi pengertian tasauf dengan pengertian yang berbeza-beza, antara mereka ada yang mengaitkan tasauf dengan akhlak dan tingkah laku, ada yang mengaitkannya dengan ibadat dan ada juga yang mengaitkannya dengan ma’rifat dan musyahadah.

Pada awal kedatangan Islam, ilmu ini tidak dikenali dengan nama ilmu tasauf.  Para sahabat telah menghiasai diri mereka dengan sifat zuhud, banyak melakukan ibadat dan menjauhi kesukaan dunia tetapi pada zaman mereka ia belum dikenali dengan nama ilmu tasauf.  Perkataan tasauf terkenal selepas zaman sahabat Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam.  Menurut Ibn Khaldun Ilmu tasauf merupakan satu ilmu daripada ilmu-ilmu syariat yang baru dalam Islam.  Pada asalnya para sahabat ,tabiin dan generasi selepas mereka banyak melakukan ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah serta menjauhi hiasan dan keseronokan dunia.  Mereka bersifat zuhud dan tidak terpikat dengan keseronokan dunia, harta, pangkat, dan beruzlah untuk melakukan ibadat kepada Allah ta’ala. Semua itu adalah perkara umum yang diamalkan oleh para sahabat dan tabiin.  Apabila manusia mula cenderung kepada dunia pada kurun kedua dan kurun selepasnya dan mula terpikat dengannya, mereka yang melakukan ibadat tersebut dikenali dan dikhaskan kepada mereka dengan nama sufi dan mutasawwifah[2].  Orang yang pertama digelarkan ahli sufi ialah Abu Hasyim As-Sufi yang wafat pada tahun 150 hijrah[3].

Seterusnya Ibn Khaldun menyebut: Apabila ilmu-ilmu mula ditulis dan dibukukan.  Para fuqaha’ telah menulis dalam ilmu fekah, usul fekah, ilmu kalam, tafsir dan seumpamanya.  Ahli tasauf pula mula menulis dalam ilmu mereka.  Antara mereka ada yang menulis dalam bab warak dan muhasabah diri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Abu Al-Qasim Abdul Karim Bin Hawazin Al-Qusyairy(w437h) dalam kitabnya bertajuk Ar-Risalah, Syihabuddin Umar As-Sahruwardy(w632h) dalam kitabnya ’Awarif Al-Ma’arif dan seumpama mereka berdua.  Abu Hamid Muhammad Bin Muhammad Al-Ghazaly(w505h) menghimpun antara keduanya di dalam kitabnya al-Ihya’.  Beliau telah menulis di dalamnya hukum hakam warak, kemudian menerangkan adab-adab golongan sufi dan jalan-jalan mereka serta menerangkan istilah-istilah mereka mengikut pengertian mereka.  Jadilah ilmu tasauf dalam Islam satu ilmu yang dibukukan selepas ia hanyalah merupakan cara-cara ibadat sahaja.  Hukum-hakam ilmu tasauf diambil daripada ahli-ahli sufi yang pakar sebagaimana berlaku kepada ilmu-ilmu lain yang telah dibukukan seperti ilmu tafsir, hadis, fekah, usuluddin dan selainnya[4].

Dalam membincangkan penyelewengan yang berlaku dalam ilmu tasauf, Ibni Khaldun berpendapat: Ahli-ahli sufi telah mengambil dan merujuk kepada ilmu falsafah, ulamak-ulamak mutakalimin dan para fuqaha’.  Ilmu-ilmu tersebut banyak memberi kesan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan ilmu tasauf.  Namun ilmu yang paling banyak diambil dan dirujuk oleh ahli-ahli sufi ialah ilmu falsafah sehingga mereka mewujudkan falsafah-falsafah yang khusus untuk mereka.  Bahkan kita melihat ada di antara mereka yang menyerupai ahli falsafah melebih ahli sufi dan ada di antara mereka yang berpegang dengan masalah-masalah falsafah yang bercanggah dengan asas-asas syariat.  Ini membuat ulamak ahli sunnah bersepakat memerangi ilmu tasauf falsafah dan mereka menyokong tasauf yang berkisar tentang sifat zuhud, ibadat, tarbiah diri dan memperbaikinya.  Penentangan ahli sunnah terhadap tasauf falsafah berlarutan sehinggalah akhir kurun ke tujuh hijrah.  Pada zaman tersebut, ilmu tasauf telah disertai oleh orang-orang yang tidak layak dan bukan dari kalangan ahlinya.  Mereka berpura-pura bersifat warak dan taat, menghiasi diri dengan sifat zuhud yang dusta dan ibadat yang palsu sehingga kita dapati terdapat orang jahil mengetuai tarikat tasauf dan mengambil alih tarbiah pengikut dan murid-muridnya serta ajaran tasauf hanya terhad dan berkisar tentang wirid-wirid dan zikir-zikir sahaja[5].

Apa yang disebut oleh Ibnu Khaldun di atas merupakan satu gambaran ringkas tentang perkembangan ilmu tasauf.  Melaluinya juga kita dapat bahagikan ilmu tasauf kepada dua bahagian kasar iaitu pertama tasauf falsafah yang menjadikan teori-teori falsafah sebagai ajarannya.  Tasauf ini ditentang oleh ahli sunnah wa jamaah semenjak kemunculannya. Kedua tasauf amalan iaitu tasauf yang tertegak di atas amal ibadat, sifat zuhud dan mentaati Allah ta’ala.  Tasauf ini mendapat sokongan dari ulamak ahli sunnah wa jamaah.

Terdapat ulamak yang membahagikan tasauf kepada dua aliran[6]:

1)         Aliran sederhana yang di terdiri dari ahli-ahli sufi yang ajaran mereka tidak terkeluar dari ajaran Quran dan sunnah.  Ajaran mereka berpandukan kepada renungan yang mendalam terhadap tauhid ubudiah atau uluhiah melalui penyucian hati, istiqamah dalam mendekatkan diri kepada Allah, menjauhi seruan nafsu, dan berdasarkan kepada ilmu-ilmu yang bersandarkan Quran dan sunnah.

2)         Aliran Golongan Batin yang memiliki teori-teori pelik tentang hubungan Allah dengan makhluk seperti teori ittihad, hulul, fana’, wadatul wujud dan seumpamanya.

Bagi Ibni Khaldun, golongan kedua ini terpengaruh dengan ajaran batiniah sebagaimana beliau menegaskannya dalam kitabnya:  Sesungguhnya mereka ahli-ahli sufi generasi kemudian mereka bercakap tentang kashaf, tentang perkara yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia dan melampau dalam perkara tersebut sehingga ada antara mereka yang berpegang dengan teori hulul, dan wahdatul wujud.  Mereka menulis teori-teori tersebut di dalam kitab-kitan mereka seperti Al-Harawy dalam kitabnya Al-Maqamaat dan selainnya.  Diikuti selepas itu Ibni ‘Arabi dan Ibni Sab’ein serta murid keduanya iaitu Ibni Al-‘Afif, Ibni Al-Faridh dan An-Najmu Al-Israily dalam kasidah-kasidahnya.  Generasi terdahulu daripada mereka telah bergaul dengan golongan puak batiniah Ismailah yang berpegang dengan teori hulul dan ketuhanan imam-imam mereka.  Kedua aliran tersebut iaitu Batiniah dan tasauf telah bercampur aduk antara satu sama lain sama ada dalam pendapat-pendapat dan akidah mereka.  Dengan itu muncullah dakwaan ahli sufi tentang wali Qutub iaitu bermaksud ketua orang-orang arif(ketua para wali). Mereka mendakwa wali qutub tidak mungkin ditandingi maqam dan kedudukannya oleh seseorangpun sehinggalah nyawanya diambil oleh Allah ta’ala.  Selepas kematiannya, maqam atau kedudukannya akan diwarisi oleh pengantinya dari dikalangan orang-orang arif…Pendapat ini tidak ada hujah dari segi akal dan juga tidak ada hujah disisi syara’…ia sama dengan apa yang didakwa oleh golongan Ar-Rafidhah yang menjadi pegangan mereka[7].


[1] Muhammad Amin Al-Kurdy Al-Irbily(w1332h), Tanwir Al-Qulub Fi Mu’amalah ‘Allami Al-Ghuyub, ta’liq: Muhammad Riadh, Beirut, Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiah, cetakan 1, 1416h/1995m, ms 435.

[2] Ibn Khaldun(w732h/808m), Muqaddimah Abni Khaldun, op. cit., ms 158.

[3] Mustafa Bin Abdullah Al-Qastantiny  Ar-Rumy Al-Hanafy(1017-1068h), Kasyfu Az-Zhunun ‘An Usama Al-Kutub Wa Al-Funun, Beirut, Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiah, 1413h/1992m, juzuk 1,ms 414.

[4] Ibn Khaldun(w732h/808m), Muqaddimah Abni Khaldun, op. cit., ms 358.

[5] Muhammad Husain Az-Zahaby, At-Tafsir Wa Al-Mufassirun, op. cit., juzuk 2, ms 339.

[6] Mahmud Salim Ubaidat, Tarikh Al-Firaq Wa ‘Aqaiduha, op. cit., ms 161.

[7] Ibn Khaldun(w732h/808m), Muqaddimah Abni Khaldun, op. cit., ms 362.

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • POLISI

    Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan dakwah, pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca dibenarkan menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat akidah2u.wordpress.com hendaklah disertakan dan dikekalkan. Sebarang bentuk penerbitan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya yang bertujuan dan berorientasikan komersil tidak dibenarkan sama sekali tanpa keizinan pihak akidah2u.wordpress.com

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: