Beriman Dengan Para Nabi Dan Rasul

Posted on December 6, 2011. Filed under: Akidah Islam, Nubuwwah |

Akidah terbahagi kepada tiga iaitu Ilahiyyat(Ketuhanan), Nubuwwat(Kenabian) dan Akhirat.  Bahagian Nubuwwat pula terbahagi kepada tiga iaitu beriman dengan para Malaikat, Nabi & Rasul dan Kitab.

Beriman dengan Para Nabi dan Rasul

        Beriman dengan para rasul dan nabi ialah percaya dengan para rasul dan nabi yang Allah sebut nama-nama mereka dalam Quran dan beriman bahawa Allah ta’ala mengutuskan rasul dan nabi selain daripada mereka yang tersebut itu, yang kita tidak tahu bilangan dan nama-nama mereka melainkan Allah ta’ala sahaja.  Mereka yang disebut di dalam Quran itu wajib kita beriman dengan kerasulan mereka atau kenabian mereka secara terperinci sekira-kiranya kalu ditanya salah seorang daripada mereka, kita tidak mengingkari kenabiannya atau kerasulannya.  Sesiapa yang mengingkari salah seorang daripada mereka sebagai rasul atau nabi, hukumnya adalah kafir.

Sementara itu, para rasul atau nabi yang Allah tidak menyebut kisah-kisah dan nama-nama meraka dalam Quran, kita dituntut beriman dengan mereka secara ijmal(rawak) sahaja.  Seorang muslim tidak boleh mendakwa seseorang  sebagai nabi atau rasul selagi Allah taa’la tidak menyebut kisah dan namanya di dalam Quran dan Rasulullah tidak menceritakan tentangnya dalam hadis-hadis beliau.

Kita wajib percaya Allah ta’ala mengutuskan rasul-rasulNya ke alam ini adalah untuk memberi peringatan dan pembawa berita gembira kepada manusia sebagaimana wajib ke atas kita beriman bahawa semua rasul dibangkitkan untuk memastikan dan melaksanakan satu tujuan utama yang asas iaitu ibadat kepada Allah, menegakkan agamaNya, mengesakanNya dari segi rububiyyahNya, uluhiyyahNya dan nama-nama serta sifat-sifatNya.  Kita juga wajib membenarkan dan mempercayai semua rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah ta’ala.  Tidak boleh kita membeza-bezakan antara mereka dengan mempercayai setengah daripada mereka dan mengingkari setengahnya yang lain kerana hukumnya adalah kafir sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 150-151 yang bermaksud:

(Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasul-rasulNya, dan bermaksud memperbezakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasulNya, dengan mengatakan: “Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian(yang lain)”, serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan(tengah) di antara yang demikian(iman atau kafir), merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya.  Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu seksaan yang menghinakan).

Wajib juga kita  beriman, setiap rasul diutuskan oleh Allah untuk menunaikan segala amanahNya yang diberikan kepada mereka, menyampaikan risalah dan agamaNya kepada manusia.  Kita wajib mentaatinya, tidak mengingkari dan menyangahinya kerana ketaatan kepada rasul merupakan ketaatan kepada Allah ta’ala sebagaimana firmanNya dalam surah al-Nisa’ ayat 80 yang bermaksud:

(Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, seseungguhnya ia telah mentaati Allah.  Dan barangsiapa yang berpaling(dari ketaatan itu), maka kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka).

Wajib kita beriman bahawa rasul itu adalah semulia-mulia makhluk dari segi ilmu pengetahuan dan amalan, sebenar-benar manusia dan sebaik-baik akhlak dari kalangan mereka.  Allah ta’ala mengurniakan secara khusus kepada mereka kelebihan-kelebihan yang tidak dapat dicapai dan perolehi oleh makhluk lain.  Allah ta’ala menjaga, menyucikan mereka dari sebarang bentuk penipuan, penkhianatan, menyembunyikan kebenaran, dan tidak menyampaikan risalah Allah dengan sepatutnya.   Sebagaimana Allah memelihara mereka dari sebarang dosa-dosa besar dan kecil, walaupun mereka mungkin melakukan kesalahan-kesalahan yang kecil jika dinisbahkan kepada kedudukan mereka yang tinggi seperti Nabi Adam yang bersalah memakan buah pokok khuldi kerana lupa dan baginda terus memohon keampunan dari Allah ta’ala.

Kita juga wajib beriman bahawa rasul-rasul semuanya adalah lelaki yang dipilih oleh Allah dari kalangan manusia.  Mereka bukan malaikat, tidak dari kalangan wanita, dan tidak diberikan kepada mereka tabiat-tabiat yang lain selain tabiat manusia.  Mereka adalah manusia yang makan, minum, berjalan di kedai-kedai, tidur, duduk, ketawa, berkahwin dan beranak pinak, mengalami kesusahan dan keperitan, sakit, dan kesemua ciri-ciri atau tabiat-tabiat kemanusiaan yang lain yang tidak membawa kepada kehinaan, jatuh atau rendah ketinggian martabat mereka sebagai rasul-rasul Allah ta’ala di kalangan manusia.

Wajib juga kepada kita beriman bahawa para rasul dan nabi tidak dikurniakan kepada mereka ciri-ciri dan sifat-sifat ketuhanan; mereka tidak memiliki hak mengurus dan mengatur peredaran alam, tidak dapat memberi kesan dan mudharat, tidak dapat mempengaruhi kehendak-kehendak Allah ke atas manusia, tidak mengetahui perkara-perkara ghaib kecuali apa yang telah dperlihatkannya oleh Allah ta’ala.  Allah ta’ala berfirman dalam ayat al-A’raf ayat 188 yang bermaksud:

(Katakanlah(wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak(pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah.  Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan.  Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman).

Kita hendaklah beriman para rasul dan nabi terpelihara daripada sebarang kekurangan yang yang akan merosakkan agama mereka, dan ketaatan mereka kepada Allah ta’ala atau pada kemampuan mereka menyampaikan risalah Allah ta’ala yang diamanahkan ke atas mereka.  Allah ta’ala menyempurnakan mereka dengan sifat bertanggungjawab iaitu amanah, benar, cerdik, dan bersifat penyampai serta sifat-sifat lain daripada sifat-sifat kesempurnaan yang mesti ada pada mereka bagi menegakkan agama dan tugas mereka.  Wajib juga kita beriman bahawa Allah ta’ala mengurniakan kepada mereka mu’jizat-mu’jizat yang hebat dan tanda-tanda yang jelas yang menunjukkan kebenaran apa yang mereka bawa itu datang dari Allah ta’ala.

Bagi hak kenabian Nabi Muhammad sollallahualaihiwasallam pula, kita hendaklah beriman bahawa beliau adalah nabi lagi rasul, hamba Allah dan rasul pilihanNya, beginda tidak meyembah patung dan tidak melakukan syirik terhadap Allah ta’ala walau sedikitpun.  Tidak melakukan dosa besar samada sebelum perlantikannya sebagai nabi atau selepasnya.  Kita juga mesti beriman bahawa baginda diutuskan untuk semua bangsa arab dan bukan arab, jin dan manusia keseluruhannya.  Syariat baginda merupakan intipati dan penyudah kepada syariat sebelumnya.  Ia memansuhkan syariat-syariat sebelumnya melainkan syariat-syariat yang diakui oleh baginda sendiri boleh digunapakai.  Baginda adalah nabi paling tinggi martabatnya dari kalangan nabi-nabi yang lain, merupakan penghulu sekalian manusia, sesiapa yang tidak menyebut dan berikrar beriman dengan baginda dalam syahadah iaitu lafaz (أشهد أن لا إله إلا الله، وأشهد أن محمدا رسول الله)  tidak sempurna syahadahnya.  Wajib ke atas kita membenarkan apa yang telah dikhabarkan oleh baginda dalam perkara-perkara dunia mahupun urusan-urusan akhirat.

Kita juga wajib beriman bahawa baginda merupakan nabi dan rasul terakhir, tidak akan ada sama sekali rasul atau nabi selepas baginda sebagaimana dinyatakan oleh Allah ta’ala dalam surah al-Ahzab ayat 40 yang bermaksud:

(Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi.  Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu).

Allah ta’ala juga berfirman dalam Quran surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: (Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu ni’matKu, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu). 

Dengan sempurnanya agama Allah dalam ayat tersebut, sempurnalah nikmatNya kerana agama adalah sebesar-sebesar nikmat Allah ke atas manusia.  Pada masa yang sama manusia tidak berhajat kepada agama yang baru selainnya.  Oleh itu, tidak ada dan tidak perlu kepada nabi baru dan berakhirlah rasul selepas kebangkitan nabi Muhammad.  Sesiapa yang mendakwa nabi atau rasul selepas baginda, dia adalah penipu dan dajjal yang dilaknati oleh Allah ta’ala di dunia dan akhirat.

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • POLISI

    Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan dakwah, pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca dibenarkan menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat akidah2u.wordpress.com hendaklah disertakan dan dikekalkan. Sebarang bentuk penerbitan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya yang bertujuan dan berorientasikan komersil tidak dibenarkan sama sekali tanpa keizinan pihak akidah2u.wordpress.com

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: