SYIAH DI MALAYSIA

Posted on December 19, 2011. Filed under: Batiniah, Syiah | Tags: |

SYIAH

          Bahaya Syiah kepada akidah Islam dan sebagai perosak akidah Islam tidak dapat dinafikan.  Kita juga tidak dapat menafikan bahawa Syiah adalah pergerakan Batiniah dan merupakan pelopor kepada kemunculan puak-puak dan ajaran sesat dan kumpulan-kumpulan Batiniah yang lain.  Kemungkinan ada yang tidak bersetuju ini yang agak keras namun sejarah dan kajian menyebut puak-puak sesat Batiniah seperti Ismailiah, Nusoiriah, Qaromitah, Duruz, Bahaiah dan selainnya adalan pecahan dari golongan Syiah.  Percanggahan pendapat dalam menentukan Imam mereka dari keluarga Rasulullah menjadikan mereka berpecah kepada pelbagai jenis ajaran dan kumpulan.  Walaupun ada dakwaan bahawa Syiah sudah tidak mengamalkan ajarannya.  Akidah-akidahnya sudah tidak disebar dan dipegangi lagi tapi hakikatnya sukar diterima kerana adanya konsep taqiah dalam ajaran syiah.  Kemungkinan mereka bergerak dengan menyembunyikan akidah dan identiti mereka yang sebenar untuk memudahkan dakwah mereka tersebar dan perancangan politik mereka tercapai.

Kekuatan Syiah boleh dilihat apabila mereka mempunyai kuasa, pengaruh dan negaranya sendiri.  Iran adalah negara Syiah yang tidak akan membiarkan negara sunni berdiri tegak meskipun mereka berada dalam satu barisan dengan puak sunni memerangi musuh-musuh Islam. Diperpustakaan-perpustakaan seluruh dunia, buku-buku rujukan syiah masih diguna pakai, dikaji dan dipelajari oleh puak-puak syiah.  Ajaran-ajaran mereka masih diamalkan.  Oleh itu, untuk menulis tentang ajaran sesat di Malaysia tidak lengkap tanpa menyebut ajaran Syiah bahkan ia merupakan satu kemestian untuk membuka hakikat bahawa Syiah itu adalah ajaran sesat Batiniah melalui sejarah dan ciri-ciri persamaan antara keduanya.

Syiah Di Malaysia

Syiah telah lama bertapak di Tanah Melayu bahkan ada yang berpendapat Kerajaan Islam awal iaitu Perlak dan Pasai terpengaruh dengan Syiah.  Di Malaysia, pengaruh Syiah semakin kuat selepas kejayaan revolusi Iran yang pelopori oleh Ayatullah al-Khumainy pada tahun 1989m dan terbentuknya Kerajaan Islam Syiah Iran.  Atas asas kerajaan Islam, rakyat Malaysia telah memberi banyak kerjasama dan pertolongan kepada kerajaan Islam Syiah Iran tanpa melihat pada usaha mereka untuk menyebarkan akidah Syiah di Malaysia([1]).  Kedatangan orang-orang Pakistan dan India yang bermazhab Syiah ke Malaysia juga banyak membantu penyebaran Syiah di Malaysia.

Syiah tersebar di Malaysia dengan cepat kerana beberapa faktor([2]):

1)      Orang Malayu Islam sangat cinta dan kasih pada keluarga Nabi Muhammad sollallahu’alaihiwasallam.  Di atas asas sayang dan cinta tersebut mereka mudah menerima dakwah Syiah yang melampau dalam membesarkan dan mengagongkan keluarga Rasulullah sollallahu’alaihiwasallam.

2)      Hukum fekah Syiah yang longgar dan mudah.  Setengah orang terpengaruh dengan hukum fekah Syiah yang lebih mudah mengikut pendapat mereka berbanding hukum fekah mazhab-mazhab lain seperti boleh jama'(himpun) solat lima waktu dalam satu waktu sahaja.  Mereka juga merasa kagum dengan keharusan nikah mut’ah dalam mazhab Syiah.

3)      Kesungguhan pendakwah-pendakwah Syiah di Malaysia.  Mereka mengedarkan risalah, majalah dan bahan-bahan edaran lain untuk menyebarkan fahaman mereka.

 

Cara Tersebar Dakwah Syiah Di Malaysia

          Dakwah syiah tersebar di Malaysia melalui beberapa cara antaranya:

1-           Ziarah rasmi dan tidak rasmi rombongan-rombongan dari pemimpin-pemimpin Iran ke Malaysia.  Ziarah tersebut diakhiri dengan program ceramah, keterangan berkenaan dengan akidah dan ajaran Syiah([3]).  Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan menziarahi Iran disamping menghadiri program-program yang diadakan oleh Syiah di India, Bangladesh, Australia, Thailand, dan Kuala Lumpur([4]).

2-           Melalui pelajar Malaysia yang belajar di Iran dan mendapat biasiswa khas dari kerajaan Iran sebagaimana terdapat juga pelajar di hantar ke Pakistan untuk mempelajari akidah dan ajaran Syiah.  Penghantaran pelajar ini bermula semenjak 20 tahun dahulu lagi.  Pada tahun 1984 seramai enam orang pelajar dari Sekolah Agama Darul al-Falah telah dihantar menyambung pelajaran di Universiti Qum di Iran.  Selepas itu dihantar pula seramai 10 orang pelajar lelaki dan perempuan daripada sekolah yang sama dan Sekolah Agama Darul al-‘Atiq di Johor Bahru ke Pakitan bagi mempelajari Bahasa Parsi dan ajaran Syiah di sana.  Mereka ini apabila pulang akan menjadi pendakwah Syiah dan akan mengembangkan Syiah di Malaysia([5]).

3-           Melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia.  Mereka mengadakan ziarah ke Pusat Pengajian Tinggi dan sekolah-sekolah.  Mereka memberi hadiah-hadiah yang berupa buku, majalah Syiah kepada perpustakaan umum, universiti, kolej, masjid, dan penerbit-penerbit buku([6]).  Sebagaimana mereka juga menghantar beberapa rakyat Malaysia ke Mekah untuk menunaikan haji bersama pengikut-pengikut Syiah secara percuma dari kerajaan Iran([7]).

4-           Terdapat bantuan dan sokongan daripada golongan akademik dan politik di Malaysia.  Sesetengah pemimpin politik pro Islam menyokong kerajaan Iran.  Antara mereka ada yang menganggap tidak ada beza antara Syiah dan Ahli Sunnah Waljama’ah kerana telah dibuang oleh Ayatollah Khumeini([8]).  Pegawai Diplomasi Iran ada mempelawa Almarhum Dato Fadhil Muhammad Nor(1937-2002) bekas presiden PAS mengubati dan merawat penyakitnya di Tehran, Iran([9]).  Ini menunjukkan beberapa perkara, pertama: terdapat usaha dari golongan Syiah untuk menjalinkan hubungan dengan pemimpin politik Islam di Malaysia; kedua: kehebatan pemimpin PAS sehingga disanjung dan dipandang tinggi oleh orang Syiah; ketiga: kemungkinan ada hubungan baik antara Iran dan PAS di Malaysia.  Walaupun begitu pada pendapat penulis hubungan tersebut bukanlah hubungan kerjasama untuk menyebarkan Syiah di Malaysia.

Terdapat golongan akademik yang terpengaruh dengan Syiah terdiri daripada pensyarah universiti, kolej dan lain-lain di Malaysia.  Ini memudahkan penyebaran ajaran Syiah dalam masyarakat pelajar di Malaysia apatahlagi kerajaan Iran memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar Malaysia bagi melanjutkan nyambung pengajian mereka di Iran dan Pakistan.  Melalui majlis-majlis ilmu yang diadakan di universiti atau pusat-pusat pengajian yang lain, pensyarah dan guru-guru menyebarkan dakwah Syiah di majlis-majlis tersebut yang turut dihadiri oleh ulamak Syiah([10]).  Terdapat juga pensyarah yang sengaja memberi assignment dan menugaskan pelajar mengkaji dan menyelidik tentang Syiah, membuat ringkasan teks-teks ucapan pemimpin Syiah dan seumpamanya agar mereka dapat mengenali Syiah dan terpengaruh dengannya.

5-           Menyebarkan pamplet, buku, dan majalah Syiah kepada orang ramai seperti Majalah Fatimah dan majalah al-Quds([11]).   Buku-buku tentang Syiah juga tidak ketinggalan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu seperti buku Nahju Al-Haq Wa Kasyfu As-Sidq yang ditulis oleh penulis Syiah yang bernama al-Hasan Bin Yusuf al-Mutahhar al-Hiliyy telah diterjemahkan oleh Lutfi Ibrahim ke dalam Bahasa Melayu dan menjadi rujukan utama bagi pengikut Syiah di Malaysia([12]).  Penulis buku tersebut terkenal dengan sifat khianat dalam meriwayatkan hadis sebagaimana dinyatakan oleh Syah Abdul ‘Aziz Ghulam Hakim ad-Dahlawy([13]).

Puak Syiah Di Malaysia:

Syiah telah berpecah kepada pelbagai puak dan golongan.   Puak dan kumpulan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama: Syiah Pelampau yang dikatakan oleh setengah orang telah pupus dan berakhir pengaruhnya di dunia Islam.  Apatah lagi Syiah yang ada sekarang tidak mengaku yang mereka asalnya daripada Syiah pelampau tersebut.

Kedua: Syiah Ismailiyyah yang terdapat di India, Pakistan, timur dan selatan Afrika, dan di beberapa negara Arab.

Ketiga: Syiah Imamiah atau Ithna ‘Asyariah yang tersebar di Iran, Iraq, Syria, Lubnan, Kuwait, Bahrain, negara-negara Balkan, India, Pakistan, dan selainnya.

Keempat: Syiah Zaidiyyah yang tersebar di Yaman dan ia lebih cenderung dan hampir dengan Ahli Sunnah wa Al-Jamaah ([14]).

Setiap kumpulan Syiah yang tersebut di atas pula terbahagi dan berpecah kepada beberapa kumpulan yang lain.  Oleh itu, Syiah boleh dianggap antara kumpulan yang paling banyak mazhab aliran dan merupakan mazhab tertua yang wujud selepas kebangkitan Islam.  Di Malaysia pula terdapat tiga kumpulan utama Syiah :

Pertama: Syiah Ismailiyyah Bahra Atau Tayyibiah(Syiah Taiyibi Daud Bohra)([15])

Syiah ini pecahan daripada Syiah Isma’iliah.  Ia dikenali juga dengan nama Syiah Musta’liyah kerana mengiktiraf al-Musta’ly dan keturunannya sebagai Imam mereka.  Anak Musta’ly bernama al-Tayyib, jadi golongan ini juga dinamakan Taiyibiah.  Golongan ini banyak di India dan Yaman.  Mereka telah meninggalkan bidang politik dan berkecimpung dalam bidang ekonomi(perniagaan).  Orang India menamakan dan mengenali mereka sebagai Bohrah yang bermaksud peniaga dalam bahasa India lama.  Imam Tayyib telah masuk al-Sitr(tempat persembunyian) pada tahun 525h dan menghilangkan diri sampailah sekarang.  Begitu juga keturunannya yang merupakan Imam-imam bagi golongan Syiah Tayyibiah tersembunyi dan tidak diketahui tentangnya sehingga nama merekapun tidak dapat diketahui sampailah sekarang.  Ulamak-ulamak mereka juga tidak tahu siapa imam-imam mereka. Puak Syiah Bohrah ini berpecah kepada dua golongan:

1.    Bohrah Sulaimaniyah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka yang bernama Sulaiman Bin Hasan.  Pusat bagi golongan ini ialah di Yaman sehinggalah ke hari ini.

2.    Bohrah Daudiah yang dinisbahkan kepada pendakwah mereka yang bernama Qutub Syah Daud.  Golongan ini terdapat di India dan Pakistan semenjak kurun ke sepuluh hijrah lagi.  Pendakwah-pendakwah golongan ini menetap di Bombay.  Puak atau golongan inilah tersebar di Malaysia di kalangan pemilik kedai yang dikenali Kedai Bombay.  Terdapat tanah perkuburan dan masjid khas untuk mereka.  Pusat dakwah mereka ialah di Daerah Klang.  Pengikut golongan ini dianggar lebih kurang 200 hingga 400 orang([16]).

Kedua: Syiah Ismailiyah al-Agho Khoniyyah([17])(Syiah Ismailiyyah Agha Khan).

Syiah ini juga pecahan daripada Syiah Isma’iliah. Kumpulan Syiah ini muncul di Iran pada awal kurun ke 19 masehi.  Antara pendakwah-pendakwah mereka ialah:

1-      Hasan Ali Shah.  Dia dikenali sebagai Agha Khan Pertama.  Pihak Inggeris telah menggunakannya untuk mengetuai peberontakan sebagai satu helah bagi mereka menduduki Iran.  Dia telah dibuang negeri ke Afghanistan, kemudian dia menuju ke Bombay. Mati pada tahun 1881m.

2-      Agho Ali.  Dia dikenali sabagai Agha Khan Kedua.  Wafat pada 1885m.

3-      Muhammad al-Husainy iaitu anak Agha Khan Kedua.  Dia digelar Agha Khan Ketiga.  Dia tinggal di Eropah dan tenggelam dalam dunia hiburan dan keseronokan.  Apabila wafat pada tahun 1957m, dia telah mewasiatkan cucunya yang bernama Karim sebagai pengantinya.  Ini bercanggah dengan ajaran Ismailiyyah yang menetapkan penganti imam atau ketua mereka hendaklah anak yang sulung.

4-      Karim yang digelarkan Agha Khan Keempat.  Mengantikan datuknya pada tahun 1957m.  dia mendapat pendidikan di Amerika.

Kumpulan Syiah Agha Khan ini tersebar dan terdapat di Nairoby, Darussalam, Zimbabwe, Moghadisu, Kongo, Balgiky, India, Pakistan, Syria dan pusat utama kepimpinannya ialah di Karachi.  Di Malaysia, kumpulan ini terdapat di Lembah Klang dari kalangan pemilik kedai-kedai Peerbhai.  Pengikut kumpulan ini tidak dapat diketahui jumlahnya tetapi mengikut pendapat ia  lebih sedikit daripada kumpulan Syiah yang pertama([18]).

Ketiga: Syiah Jaafariah atau Imamiah Ithana ‘Asyariah.

Kumpulan ini mula tersebar di Malaysia pada tahun 1979m di kalangan tenaga pengajar di universiti-universiti di Malaysia melalui buku-buku fahaman Syiah.  Pengikut kumpulan ini telah menterjemah beberapa buah buku fahaman Syiah ke dalam Bahasa Melayu.  Bilangan pengikut kumpulan ini di Malaysia mengikut sumber Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) antara 300 hingga 500 orang([19]).  Tetapi jumlahnya yang sebenar tidak dapat diketahui dengan tepat.

Kumpulan Syiah inilah yang paling masyhur di Malaysia.  Oleh itu penulis akan menulis tentang Syiah ini dan menerangkan kesesatan dan ciri-ciri ajaran sesat batiniah yang terdapat padanya.

Sejarah Ringkas Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah

Syiah Jaafariah Atau Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah yang terkenal dengan pangilan Syiah Imamiah muncul hasil dari percanggahan pendapat antara pengikut Syiah siapakah yang layak menjadi imam mereka selepas kewafatan Imam Jaafar As-Sodiq.  Antara mereka ada yang mahu melantik anak sulung imam Jaafar iaitu Ismail Bin Jaafar dan ada yang mahu melantik anaknya yang bernama Musa al-Kazhim bin Jaafar kerana mengikut dakwaan mereka Imam Jaafar telah menyatakan Musa sebagai pengantinya.  Kumpulan yang melantik Ismail sebagai imam mereka dikenali selepas itu dengan nama Syiah Ismailiah dan kumpulan yang melantik Jaafar pula dikenali dengan Syiah Jaafariah nisbah kepada nama Jaafar.

Kumpulan Syiah ini dinamakan Imamiah mengikut pendapat Imam al-‘Asy’ari kerana pegangan dan dakwaan mereka Imam Ali bin Abi Tolib di lantik oleh Rasulullah sebagai iman penganti selepas kewafatan baginda dengan cara ‘nas’([20]).  Mengikut pendapat lain mereka dikenali sebagai Syiah Imamiah Ithna ‘Ayariah kerana pegangan mereka wajib terdapat imam di setiap zaman dan ke semua imam-imam tersebut seramai dua belas orang mestilah dari keturunan Imam Ali Bin Abi Tolib([21]).  Mereka ialah :

1-   Abu Hasan Ali bin Abi Tolib(23sblm hijrah-40h) yang digelar al-Murtadha.

2-   Abu Muhammad Hasan bin Ali(2-50h) yang digelarkan az-Zaky.

3-   Abu Abdullah Husein bin Ali (3-61h) yang digelarkan Sayyid as-Syuhada’.

4-   Abu Muhammad Ali bin Husein(38-95h) yang digelarkan Zainal Abidin.

5-   Abu Jaafar Muhammad bin Ali(57-114h) yang digelarkan al-Baqir.

6-   Abu Abdullah Jaafar bin Muhammad(83-148h) yang digelar as-Sodiq.

7-   Abu Ibrahim Musa bin Jaafar(128-183h) yang digelar al-Kazhim.

8-   Abu Hasan Ali bin Musa(148-203h) yang digelarkan ar-Redha.

9-   Abu Jaafar Muhammad bin Ali(195-220h) yang digelar al-Jawwad.

10-Abu Hasan Ali bin Muhammad(212-254h) yang digelar al-Hady.

11-Abu Muhammad al-Hasan bin Ali(232-260h) yang dikenali sebagai al-‘Askary

12-Abu al-Qasim Muhammad bin al-Hasan(256h-) yang digelar al-Mahdy yang merupakan Imam yang ke dua belas([22]).

Pengikut Syiah Imamiah berpegang bahawa Imam mereka yang terakhir iaitu al-Mahdy telah masuk ke dalam sardaba/bilik bawah tanah dalam rumah ayahnya dan terus ghaib sampailah sekarang. Mereka bercanggah tentang umur al-Mahdy semasa beliau ghaib. Ada yang berpendapat umurnya pada masa tersebut ialah empat tahun dan ada yang berpendapat lapan tahun([23]).


([1]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 131.

([2]) Tuan Che Mat bin Che min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam koleksi Kertas Kerja Seminar Akidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negeri Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculan, Bahayanya, Pemulihannya, Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negeri Brunei Darussalam, ctk 1, 1994, ms 99-101.

([3]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.

([4]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 101.

([5]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98.

([6]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.

([7]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.

([8]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.

([9]) Subky Abd Latif, Fadhil Noor: Dia Guru…Dia Kawan, Kuala Lumpur, Penerbitan al-Azim SDN BHD, ctk 1, 2003, ms 30.

([10]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 98-102.

([11]) Tuan Hj Che Mat Che Min, “Gerakan Syiah Dan Pengaruhnya Di Malaysia”, dalam Koleksi Kertas Kerja Seminar Aqidah MABIMS Tahun 1413h/1993m, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Ajaran Sesat: Kemunculannya, Bahayanya, Pemulihannya, Op.cit., ms 101-102.

([12]) Buku tersebut dalam Bahasa Melayu bertajuk Minhaj Kebenaran Dan Pendedahan, oleh Al-Hasan Bin Yusuf al-Mutahhar al-Hiliyy, terjemahan: Lutpi Ibrahim. 1993.

([13]) Syah Abdul ‘Aziz Ghulam Hakim ad-Dahlawy, Mukhtasor At-Tuhfati Al-Ithnai ‘Asyariah, op.cit., ms 167.

([14]) Mahmud Salim Ubaidaat, Tarikh al-Firaq wa ‘Aqaidiha, op. cit., ms 42.

([15]) Sila lihat : An-Nadwah Al-‘Alamiah Li Asy-Syabab Al-Islamy, al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyaan wa al-Mazahib al-Mu’asirah, Riadh, al-Mamlakah al-‘Arabiyah as-Sa’udiyyah, ctk 2, 1409h/1989m, ms 48

([16]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.

([17]) Sila lihat : An-Nadwah Al-‘Alamiah Li asy-Syabab al-Islamy, al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyaan wa al-Mazahib al-Mu’asirah, Riadh, al-Mamlakah al-‘Arabiyah as-Sa’udiyyah, ctk 2, 1409h/1989m, ms 51.

([18]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.

([19]) Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Himpunan Ajaran, Amalan, Dan Fahaman Yang Telah Diwartakan Menyeleweng Dan Sesat Dalam Negeri Selangor Sepanjang Abad Dua Puluh, op. cit, ms 132.

([20]) Abi al-Hasan Ali bin Ismail al-‘Asy’ary(w330h), Maqolaat al-Islamiyyiin Wa Ikhtilaf al-Musolliin, tahkik: Mohammad Mahyudin bin Abdul Hamid, Maktabah al-‘Asriyyah, t.ctk, 1411h/1990m, juz 1, ms 89.

([21]) Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun(732-808h), Muqaddimah Ibni Khaldun, op. cit., ms 151.

([22]) Muhammad Redha al-Muzhaffar, Aqoid al-Imamiyyah, Beirut, Muassasah al-Imam al-Husein, ctk 10, 1417h/1997m, ms 70.

([23]) Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, Qoherah, Darul al-Fikr al-‘Araby, t. ctk., 1996m, ms 48.

Make a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • POLISI

    Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di blog ini dihasilkan untuk tujuan dakwah, pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca dibenarkan menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat akidah2u.wordpress.com hendaklah disertakan dan dikekalkan. Sebarang bentuk penerbitan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya yang bertujuan dan berorientasikan komersil tidak dibenarkan sama sekali tanpa keizinan pihak akidah2u.wordpress.com

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: